RAYA TERINDAH DI TANAH SUCI




 Dapat mengaminkan doa imam di Masjidil Haram pada sepuluh malam terakhir Ramadhan bersama ibu tersayang dan menyambut Aidilfitri di Tanah Suci antara pengalaman manis yang berharga bagi saya semasa masih bergelar seorang pelajar di Princess Nourah University yang terletak di ibu kota Arab Saudi iaitu Riyadh.

Saya bertolak dari Riyadh ke Madinah bersama kakak dan adik saya untuk menyambut ketibaan ibu tercinta kami dari Malaysia yang baru sahaja sampai di Madinah al-Munawwarah. Perjalanan kami mengambil masa selama dua jam dengan menaiki kapal terbang tempatan.

Setelah tiba di Madinah, kami terus bertolak ke Masjid Nabawi untuk bertemu ibu kami. Hampir satu tahun tidak berjumpa dengan ibu tercinta disebabkan kami empat beradik belajar di luar negara dan hanya dibenarkan pulang satu kali setahun. Ketika kami bertemu ibu, kami melihat ibu menitis air mata kegembiraan dapat bertemu dengan anak-anaknya yang sekian lama tidak berjumpa. Dan ini juga merupakan puasa dan raya pertama ibu selepas kepergian ayah kami pada tahun lalu.

Selepas itu, kami sekeluarga bertolak dari Madinah ke Mekah untuk menunaikan umrah sebelum sepuluh malam terakhir Ramadhan. Ini juga merupakan kali pertama kami sekeluarga dapat berpuasa dan berbuka di Masjidil Haram. Suasana disana sangat berbeza sepuluh malam terakhir Ramadhan di Malaysia, yang mana orang bersiap-siap dan meriah untuk sambut Syawal manakala di Arab Saudi bersiap-siap menyambut Ramadan begitu dirindui oleh mereka. Mereka semua bersyukur kerana dapat bertemu Ramadan sebab berpeluang beribadat pada bulan penuh keberkatan yang menjanjikan ganjaran lumayan jika segala amalan dilipatgandakan.

Satu hari sebelum raya kami pergi ke pasar membeli barangan keperluan untuk persiapan rumah terbuka pada hari raya pertama. Selepas itu, kami terus ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat Asar dan kami pulang ke rumah kawan ibu kami selepas solat Isyak dan kamu juga sempat kami menyaksikan takbir raya di Masjidil Haram yang mana suasana menyambut hari raya di Makkah sangat meriah kerana masing-masing berebut mahu melaksanakan ibadah.

Alhamdulillah, keesokkan harinya, kami sekeluarga dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri . Kami mendengar khutbah raya, tunaikan solat hari raya dan bertakbir raya di Masjidil Haram. Tambahan juga, Pengalaman berhari raya pertama di Mekah tidak akan kami lupakan, sungguhlah percaturan Allah sangat menakjubkan. Di sana, kami dapat merasakan perbezaan hari raya yang mana jutaan manusia memenuhi Masjidil Haram sehinggakan ada yang terpaksa solat di jalan sepanjang tiga kilometer.

Selepas itu, kami ke rumah terbuka makcik Yuhani yang mana ia merupakan kawan rapat ibu saya yang sudah lama menetap di Mekah. Kami dihidangkan pelbagai juadah hari raya seperti nasi dagang, satey, air batu campur (ABC) dan lain-lain lagi. Setelah itu, telah datang sekumpulan kanak-kanak arab yang tidak melepaskan peluang untuk datang beraya dari rumah ke rumah disekitar kawasan itu. Tambahan lagi, ramai tetamu yang hadir ke rumah terbuka ini merupakan jemaah dari Malaysia yang datang untuk mengerjakan ibadah umrah di Mekah pada bulan Ramadhan.

Pada petang itu, kami terus berangkat dari Mekah ke Madinah untuk beraya disana pula. Kami sangat bersyukur di rezekikan untuk merasai ibadah puasa bersama keluarga tersayang pada bulan Ramadhan dan menyambut Aidilfitri di Tanah Suci. Saya berharap dapat diberikan peluang lagi untuk menunaikan ibadah umrah bersama seluruh ahli keluarga saya pada bulan Ramadhan pada masa akan datang.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

UNIVERSITI WANITA TERBESAR YANG PERTAMA DI DUNIA