Di Sebalik Langkah yang Lambat, Ada Hati yang Tidak Pernah Berhenti
Langit kampus
hari itu biru dan lapang. Beg galas di belakang terasa ringan, tetapi dada saya
berombak dengan sesuatu yang lebih berat. Rasa teruja yang tak pernah saya
kenal sebelum ini. Pertama kali menjejak kaki ke universiti. Bukan melalui
skrin telefon, bukan dari ruang sempit bilik tidur, tetapi dengan langkah
sebenar di tanah nyata yang selama ini hanya saya bayangkan.
Dua tahun
sebelum itu, dunia pembelajaran saya berlangsung dari sisi katil. Skrin kecil
telefon menjadi kelas, papan putih dan tetingkap dunia luar. Sambungan internet
sering terputus. Sekali angin bertiup kuat, suara pensyarah hilang entah ke
mana. Setiap kali mahu bertanya, saya ragu-ragu. Wajah-wajah rakan hanya siluet
digital tanpa suara, tanpa hubungan. Belajar terasa seperti bercakap dengan
dinding.
Kini, setiap
lorong di kampus menjadi petualangan. Kadang-kadang saya sesat, tercari-cari
fakulti, dewan kuliah atau bilik pensyarah. Tapi dalam sesat itu, saya temui
arah. Saya belajar bertanya. Saya belajar tertawa. Di kafeteria, suara-suara
bersahutan. Di perpustakaan, bisik-bisik perbincangan menggantikan kesunyian
dua tahun lalu. Saya tidak lagi belajar seorang diri.
Saya temui
sahabat-sahabat yang ringan tangan dan luas hati. Dalam kelas, saya mula angkat
tangan, mula bersuara. Wajah pensyarah tidak lagi samar. Kata-kata mereka lebih
mudah difahami kerana kali ini saya ada ruang untuk bertanya, untuk melihat
reaksi, untuk merasa kehadiran.
Namun di tengah
kebahagiaan itu, satu berita meruntuhkan langit saya. Abah. Perginya tiba-tiba.
Masih jelas dalam ingatan, tangan abah yang menggenggam erat ketika menghantar
saya ke kampus. Waktu itu saya tak tahu, itulah kali terakhir.
"Belajar
elok-elok ya. Kalau susah, jangan tinggal. Pelan-pelan pun tak apa, yang
penting sampai." Kata-kata itu terngiang-ngiang seolah-olah masih hidup
dalam hembusan angin yang menyapa saya setiap kali saya lelah.
Kehilangan itu
membungkam saya. Lama saya termenung di tepi surau kampus, memegang telefon
yang kini terasa sepi. Tapi saya tahu, abah dan ummi percaya saya kuat. Untuk
itu, saya teruskan. Saya tempuhi semester demi semester. Hingga akhirnya, di
tahun akhir, satu lagi halangan datang. Saya terpaksa menangguhkan pengajian.
Kawan-kawan
saya sudah bergambar dengan jubah konvo. Tangan mereka penuh bunga dan
senyuman. Saya? Masih di sini. Belajar sendiri, berlatih industri, menepis rasa
sunyi yang datang tanpa dipanggil. Ada hari-hari yang melelahkan. Ada
malam-malam saya hampir menyerah.
Tapi tiap kali
mata saya tertancap pada gambar abah dan senyuman ummi, hati saya kembali
bulat. Saya mahu tamatkan pengajian ini. Bukan sekadar mahu menggenggam
segulung ijazah, tetapi mahu membuktikan bahawa jatuh bukan akhir perjalanan.
Langkah saya
mungkin perlahan, tapi tidak pernah terhenti. Saya belajar untuk berani, untuk
terus berharap. Setiap hela nafas, saya bisikkan doa. Moga ilmu ini nanti
menjadi manfaat, bukan hanya untuk saya, tetapi untuk sesiapa yang
memerlukannya.
Dan hari ini,
saya masih di sini. Masih berjuang. Masih percaya bahawa jalan ini, walaupun
sunyi dan panjang, sedang membawa saya ke tempat yang lebih baik.
"Pelan-pelan
pun tak apa. Yang penting sampai." Dan saya masih melangkah.

Ulasan
Catat Ulasan